Seorang teman bertanya pendapat tentang perniagaan francais. Dalam keadaan ekonomi semasa, berikut pandangan pribadi saya kepada sesiapa jua yang berhasrat untuk memulakan perniagaan:
1. Bina keikhlasan dan akhlak yang mulia dalam diri.
1. Bina keikhlasan dan akhlak yang mulia dalam diri.
2. Tetapkan matlamat, misi dan visi perniagaan (konsep niat).
3. Utamakan perniagaan yang benar-benar diperlukan oleh pengguna. Jangan sesekali membuatkan orang lain menggunakan barangan/perkhidmatan yang tidak perlu atau terpaksa melakukannya kerana dipujuk oleh anda. Tanamkan konsep ‘menolong sambil menjana untung’.
4. Senaraikan bentuk perniagaan yang ingin diceburi. Kaji kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman bagi setiap alternatif yang ada.
5. Dapatkan khidmat nasihat serta menimba pengalaman daripada individu yang berjaya, peniaga yang pernah muflis dan syarikat, yayasan atau jabatan kerajaan seperti MARA, FELDA, Kementerian Pertanian, Kementerian Luar Bandar dan Keushawanan dan sebagainya.
6. Mulakan perniagaan dalam bidang yang anda tahu. Gunakan bakat, minat, ilmu dan kemahiran anda sebaiknya. Luaskan skop ilmu, kemahiran dan horizon pemikiran anda. Amalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.
7. Jika anda bekerja, jangan berhenti kerja dahulu sebelum perniagaan anda benar-benar kukuh. Bagaimanapun, pastikan perniagaan anda tidak menjejaskan tugas hakiki dan prestasi kerja anda.
8. Dapatkan senarai , prospektus serta sebut harga daripada pelbagai pembekal.
9. Kumpulkan modal yang mencukupi.
10. Modal yang dilaburkan tidak melebihi 50% daripada wang simpanan.
11. Sebaiknya mulakan perniagaan dengan modal dalam skala kecil (di bawah RM 1000) atau sederhana besar. Modal yang terhad menjadikan anda lebih kreatif, tidak membazir dan belajar menguruskan kewangan dengan berhemat. Seorang teman menjana pendapatan lima angka sebulan dengan hanya bermodalkan sebuah komputer terpakai, sebuah meja dan sebuah kerusi lama.
12. Jangan terlalu ghairah untuk cepat kaya dan mengaut keuntungan yang besar dalam waktu yang singkat. Juga jangan tergesa-gesa untuk membeli barangan mewah dan berjenama atau membuka ‘cawangan baru’ setelah meraih keuntungan. Optimumkan penggunaan barangan sedia ada dan berhemat dalam berbelanja. Kesabaran dan kebijaksanaan membuahkan kejayaan.
13. Lebih baik berniaga secara kecil-kecilan daripada menanggung bebanan kredit yang tidak munasabah. Kebanyakan firma gergasi bermula secara kecil-kecilan dan ianya lebih bertahan lama meskipun dalam ekonomi gawat kerana usahawan lebih memahami selok-belok perniagaan. Sekalipun gagal ia mudah bangkit kembali.
14. Elakkan berhutang dengan bank. Jika anda terpaksa berhutang, lebih baik meminjam daripada saudara mara, sahabat handai atau firma yang tidak berorientasikan keuntungan (tidak mengenakan faedah). Lunaskan hutang dengan segera. Atau, anda juga mungkin boleh memilih untuk ‘main kutu’. Contohnya anda bermain kutu dengan 12 orang rakan. Setiap orang membayar RM1000 sebulan. Setiap bulan, undi akan dicabut untuk menentukan giliran penerima iaitu sejumlah RM12,000. Giliran juga boleh ditentukan atas persetujuan bersama. Jika mahukan modal yang lebih banyak atau mengurangkan bayaran bulanan, tambahkan jumlah ahli, bayaran bulanan dan jangka masa permainan serta pastikan masing-masing mematuhi peraturan.
15. Cari rakan kongsi yang boleh dipercayai. Buat perjanjian bertulis yang lengkap. Banyak syarikat mengalami kerugian kerana rakan kongsi yang tidak amanah. Berhati-hati dengan rakan kongsi meskipun ianya pasangan, ahli keluarga ataupun sahabat baik. Sediakan payung sebelum hujan agar hubungan tidak retak kerana wang. Bantu mereka menjadi amanah dan jadikan perniagaan sebagai medan untuk mengukuhkan hubungan.
16. Jika ingin berniaga secara francais, pastikan anda membaca dengan teliti terma atau syarat perjanjian yang dikenakan. Pastikan anda memiliki modal yang mencukupi. Kaji beberapa syarikat yang menawarkan perniagaan francais. Pilih yang terbaik dan bermanfaat untuk anda dan bakal pelanggan anda.
17. Lakukan kajian pasaran terlebih dahulu. Adakah lokasi perniagaan strategik, siapa bakal pelanggan anda, sejauhmana barangan atau perkhidmatan anda diperlukan oleh pelanggan, siapa pesaing anda, apakah strategi pemasaran yang berkesan, berapa pusing-ganti modal yang diperlukan, mampukah anda bertahan, adakah risiko yang anda hadapi adalah munasabah?
18. Pelajari bagaimana usahawan dan tokoh-tokoh perniagaan membina, mengukuhkan perniagaan dan menghadapi krisis dalaman dan luaran. Pelajari taktik bijaksana perniagaan Rasululullah SAW dan para sahabat beliau sehingga berjaya mengatasi cengkaman ketidakadilan ahli perniagaan pada zamannya.
19. Jika perlu, lantik pekerja yang cekap dan amanah. Berikan latihan dan garis panduan serta spesifikasi kerja yang jelas.
20. Berusaha untuk menawarkan barangan atau perkhidmatan yang berkualiti dengan harga yang rendah.
21. Jangan sesekali menggunakan modal atau keuntungan yang diperoleh sewenang-wenangnya untuk kegunaan pribadi. Meskipun berniaga sendiri, tetapkan limitasi gaji anda. Malah, adakalanya anda mungkin tidak membuat sebarang keuntungan pada bulan pertama dan kedua. Sekiranya menggunakan aset cair atau aset tetap syarikat anda, segera membuat pembayaran semula. Bagaimanapun, jangan sesekali mengganggu pusingan modal anda.
22. Jika sesuai, buat perniagaan dari rumah. Banyak penjimatan dapat dilakukan (sewa kedai, bil air, api dan telefon, minyak dan sebagainya). Ianya juga membolehkan ibu bapa mengasuh anak-anak mereka atau anak-anak menjaga ibu bapa yang sudah tua.
23. Jika berkemampuan, beli rumah kedai/lot kedai terutamanya di kawasan strategik. Jika tidak mahu berniaga sekalipun, anda boleh menyewakannya dengan harga yang tinggi. Sewaan tersebut boleh digunakan untuk membayar rumah kediaman lain pula. Ini adalah strategi yang biasa digunakan oleh masyarakat Cina. Ini bermakna, anda berpotensi memperoleh dua aset hartanah sekaligus.
24. Jaga kredibiliti anda dan perniagaan anda. Pelihara kebajikan pelanggan. Pastikan situasi menang-menang. Elakkan penipuan dan pelihara kualiti barangan dan perkhidmatan. Pelanggan yang merasakan dirinya tertipu akan memboikot anda dan meminta rakan-rakannya turut melakukan perkara yang sama. Ini bermakna, anda akan kehilangan ramai pelanggan. Pelanggan yang berpuashati akan menjadi pelanggan setia dan sukarela mempromosikan perniagaan anda kepada orang lain – secara percuma!
25. Bina rangkaian persahabatan. Silaturahim pembuka pintu rezeki. Hidupkan konsep ‘litaarafu’ (kekenalan) dalam diri dan eratkan silaturahim yang terjalin. Bergaul dengan akhlak yang baik tanpa mengira status. Belajar untuk senyum, bersikap ramah dan memelihara etika dalam perniagaan. Jika kena caranya, perniagaan adalah medan yang baik untuk membina ukhuwah, berdakwah, membangunkan ekonomi dan merebut keredhaan Allah disamping menjana pendapatan yang lumayan jika kena caranya.
26. Tunaikan kewajipan agama dalam kesibukan bekerja. Amalkan solat sunat Dhuha dan amalan sunnah lainnya secara istiqamah (mengikut kemampuan).
27. Tunaikan zakat perniagaan bila cukup nisab dan haul. Setelah berkemampuan, laksanakan tanggung-jawab sosial dan latih kumpulan/pasukan pelapis anda.
No comments:
Post a Comment